Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Ahmad Lokman Ibrahim berkata, pada tahun 2014, syarikat bumiputera yang memperoleh sijil halal hanya merangkumi 39 peratus daripada 5,412 syarikat.

Katanya, antara trend yang dapat disaksikan daripada tahun ke tahun adalah jumlah kelulusan PKS bumiputera yang mendapat sijil halal adalah lebih rendah berbanding syarikat bukan bumiputera.

“Tiga kelemahan utama mengapa syarikat PKS bumiputera tidak mendapat sijil halal adalah tidak memenuhi syarat kriteria persijilan halal dan tidak tahu cara yang betul untuk memohon sijil halal.

“Satu lagi kelemahan ialah syarikat-syarikat bumiputera sukar mendapat pembiayaan kewangan untuk menaik taraf perniagaan terutama dari segi premis bagi memperoleh sijil halal,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Kongres Muda 2015 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Lokman, masa­­lah kekurangan penyertaan usahawan bumiputera dalam industri halal perlu diatasi menerusi program kesedaran dan strategi yang berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat pengkategorian sijil halal agar dapat membezakan antara syarikat bumiputera dan bukan bumiputera.